Wednesday, August 24, 2016

Memahami Hukum Hudud melalui Maqasid Syariah ~ Part 2




Hukum rejam sampai mati (lapidation) untuk penzina yang telah berkahwin adalah satu hukuman yang telah wujud sebelum ketibaan Rasulullah SAW. Ia adalah salah satu daripada hukuman yang telah disyariatkan kepada Nabi Musa as. Hukuman ini seterusnya telah diamal oleh Nabi Isa as dan Nabi Muhammad SAW.


Terdapat beberapa hadith sahih yang meriwayatkan Nabi SAW telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin. Cuma terdapat beberapa ulama komtemporari masa kini yang telah menyifatkan hukuman ini tidak lagi sesuai dilaksanakan di atas alasan keperimanusian dan juga atas sebab kelemahan iman umat masa kini. (rujuk footnote)


Para ulama kontemporari telah mencadangkan agar hukuman hudud untuk penzina yang telah berkahwin dialihkan kepada hukum ta'zir. Hukum ta'zir adalah salah satu daripada syariat Islam yang membenarkan pemimpin atau pemerintah untuk menjatuhkan hukuman, bergantung kepada keperluan dan kemaslahatan setempat (uruf). Contoh hukuman ta'zir adalah seperti sebatan untuk peminum arak dan kaki judi.


Undang-undang negara yang sedia ada juga boleh disifatkan sebagai hukum ta'zir dimana pemerintah telah memberi kuasa dan amanah kepada badan penghakiman negara untuk mewakili beliau untuk menjatuhkan hukuman ta'zir mengikut undang2 dan perlembagaan negara. Kes-kes seperti rasuah, money laundering, hirabah (merompak), membunuh, rogol, hubungan sejenis, terrorism dll semua termasuk dalam kategori hukuman ta'zir.


Hukuman Qisas (the Law of Retaliation) pula merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT yang memberikan kebebasan kepada mangsa untuk memilih sama ada untuk membalas balik atau menerima pampasan gantirugi (diyat) atau memaafkan. Firman Allah SWT yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman, qisas diwajibkan atasmu berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka, barangsiapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya, hendaklah mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Rabbmu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 178-179)


Walau bagaimanapun, hukuman ini adalah sama dengan hukum ta'zir dimana seorang pemerintah atau wakilnya yang akan mengadili hukuman qisas ini dan bukannya dilakukan oleh mangsa sewenang-wenangnya tanpa diadili oleh seorang hakim terlebih dahulu. Diyat pula merupakan pampasan gantirugi yang wajib dibayar oleh penjenayah kepada waris mangsanya disebabkan jenayah yang telah dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.


Syaikh Abdullah Bin Bayyah, seorang ulama terkenal dunia, berpendapat bahwa pemimpin atau pemerintah perlu dijadikan sebagai penentu Tahqiq Al-Manat bagi melihat realiti negara dan implikasinya sama ada menangguh atau melaksanakan hukuman hudud.


Syaikh Abdullah Bin Bayyah memberi dalil kes-kes zaman Nabi SAW dan para sahabat seperti yang pernah dinukil oleh Ibnu Al Qayyim; iaitu jika dalam keadaan perang, kesukaran hidup dan ancaman musuh sebagai alasan untuk mencapai keputusan Tahqiq Al Manat samada melaksanakan atau tidak hudud. (lihat Syaikh Abdullah bin Bayyah, Tanbih al-Maraji’ fi Ta’sil Fiqh al-Waqi’, Dar al-Tajdid li Nasyr wa Tawzi’)


Tahqiq Al-Manat bermaksud melakukan ijtihad melalui Fiqh al-Waqi, iaitu penentuan hukum/fatwa (atau keperluan perlaksanaan hukum hudud) melalui illat (sebab/alasan) dan penelitian realiti semasa. Contohnya: Semasa kekhalifahan Islam dibawah pimpinan Umar bin Khattab ra. tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seseorang yang mencuri kerana kelaparan (darurat/terpaksa).


Ali bin Abi Thalib ra. pernah meningkatkan hukuman sebat dari 40 sebatan ke 80 sebatan kepada peminum arak kerana pada masa pemerintahan beliau, ramai peminum2 arak yang suka mengacau penduduk tempatan terutamanya terhadap golongan lemah seperti wanita dengan tuduhan palsu berzina setelah mereka mabuk.


Hukuman 40 sebatan yang sedia ada tidak menginsafkan peminum2 arak pada masa itu. Untuk mencegah terjadinya hal seperti itu, maka dikenakanlah hukuman berat bagi peminum khamar seperti yang dikenakan kepada penuduh zina.


Ibnu Taimiah pula pernah mengharuskan minuman arak kepada golongan Tartar yang telah memeluk agama Islam. Ini adalah kerana sikap bengis golongan Tartar ini akan mengacau dan cari gaduh dengan penduduk tempatan jika mereka dalam keadaan sedar. Tetapi apabila mereka telah mabuk, mereka akan tidur. Untuk mencapai ketenteraman umum, Ibnu Taimiah telah membenarkan golongan ini minum arak tanpa hukuman hudud.


Nailah bintu al-Farafishah, iaitu isteri Utsman bin Affan pernah dibenarkan untuk menjadi saksi dalam peristiwa pembunuhan Utsman yang dilakukan oleh para pemberontak walaupun syarat saksi hukuman jinayah dan hiraba adalah 2 orang lelaki Islam yang adil. Ini menunjukkan bahwa apabila ada keperluan, penyaksian dari seorang muslimah boleh dipakai dalam kes jenayah.


Contohnya, telah berlaku kes ragut atau curi di tempat solat muslimah (di belakang tabir) dalam masjid dan hanya seorang muslimah sahaja yang terlihat kejadian tersebut dan cam wajah peragut itu. Maka, penyaksian dari muslimah itu akan digunnakan dalam mahkamah syariah untuk mensabitkan hukuman. Jika Muslim tidak iktirafkan penyaksiaan sebegini, maka akan bertambah jenayah ke atas golongan wanita dan tersasar dari maqasid syariat hukumam hudud, iaitu mencapai kesejahteraan melalui keadilan.


Kita boleh lihat disini bahwa Islam bukanlah suatu agama yang jumud dan beku. Islam merupakan satu agama yang sentiasa hidup dan sentiasa berkembang dari zaman ke zaman sehingga kiamat. Oleh itu, jika para ulama tidak pandai menilai realiti semasa apabila melakukan ijtihad, maka perkembangan Islam akan terpincang. Ini adalah menyanggahi maqasid Islam yang lebih utama, iaitu penyeruan manusia agar beriman kepada Allah SWT dengan penerimaan ajaran Islam.


Objectif utama hukum hudud diturunkan oleh Allah SWT adalah untuk mencapai keadilan, kestabilan dan kesejahteraan sesebuah negara. Inilah yang perlu difokus jika nak laksanakan hukum hudud dan bukannya nak menghukum penjenayah sehingga dia takut melakukan jenayah.


Jika nak menakut-nakutkan penjenayah, kita tak perlu hudud, kita guna hukuman sistem rimba (jungle law) je, dimana pencuri disalib dan penzina dipotong alat kemaluan. Ini bukan matlamat hudud, matlamat hudud ialah memelihara dharuriyyah al-khamsah (lima keperluan asasi manusia) secara adil.


Maslahah dharuriyyah adalah tingkatan maslahah yang paling penting dalam kehidupan manusia. Tanpa penjagaan dan pemeliharaan dharuriyyah al-khamsah ini, manusia akan menghadapi kepincangan dalam hidupan masyarakat mereka. Lima keperluan asasi manusia atau dharuriyyah al-khamsah adalah terdiri daripada:


1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)


Contohnya:

1) Hukum hudud dalam Surah an-Nisa ayat 13 yang merujuk kepada pembahagian harta pusaka (faraid) adalah untuk pemeliharaan harta (hifz al-mal) dan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Jika pembahagian tidak adil dan dibolot oleh satu pihak, maka kehidupan masa depan isteri dan waris si arwah akan tergugat.


2) Hukum minum arak yang di sebut dalam Surah al Maidah ayat 90 adalah untuk pemeliharaan akal (hifz al-a’ql) dan pemeliharaan agama (hifz al-din). Orang yang mabuk akan hilang kewarasannya dan akan langgar perintah Allah SWT dan melakukan maksiat tanpa sedar diri.


3) Hukum memotong tangan si pencuri yang disebut dalam Surah al-Maidah ayat 38 dan hukuman hirabah yang disebut dalam Surah al-Maidah adalah untuk pemeliharaan harta (hifz al-mal) dan pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs). Sebuah negara atau suatu masyarakat tidak akan makmur jika ada banyak pencuri dan pembunuh.


4) Hukum qisas yang disebut dalam Surah Baqarah ayat 178 adalah untuk pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs) dan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Apabila hukum qisas telah dijalankan secara adil, maka terhentilah sifat dendam yang boleh membawa kepada kebinasaan. Pampasan diyat pula adalah untuk menjaga masa depan waris mangsa.


5) Hukum hudud untuk penzina yang disebut dalam Surah an-Nur ayat 2 adalah untuk pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dan pemeliharaan agama (hifz al-din). Penzina2 akan merosakkan kehidupan masyarakat dengan memecah-belahkan rumah tangga dan menghasilkan anak luar nikah. Agama tidak akan berkembang dalam masyarakat yang bermasalah.


Jika kita mengkaji semua syariat yang telah disebut dalam al-Quran dan hadith sahih, kita akan dapati bahwa maqasid syariah dibelakang setiap hukum hakam adalah untuk memelihara dan menjaga sesuatu maslahah demi kebaikan manusia dalam hidup ini dan juga diakhirat nanti. Kita tidak akan jumpa satu ayat pun yang menyebut sesuatu hukum itu adalah untuk kebaikan Allah SWT atau untuk malaikatNya. Inilah kemuliaan sifat ar-Rahman ar Rahim Allah SWT terhadap umatNya.


footnote:
- hadith rejam penzina yang telah berkahwin sehingga mati adalah hadith ahad. Dari segi Usul al Fiqh, para ulama fuquha berpendapat bahwa hadith ahad tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk perkara akidah dan hukuman bunuh kerana masih mempunyai sifat zann (zanni al tsubut dan zanni al dilalah) di dalamnya (kecuali hadith yang bertaraf zann al-gharib). 
- terdapat ulama seperti imam Malik, imam Muslim dll yang mempertikaikan hadith ini dari segi sanadnya kerana ia diriwayatkan oleh seorang perawi yang bernama Ikrimah Maula ibn Abbas. (khilaf status hadith)



Wallahu'alam

Tuesday, August 23, 2016

Memahami Hukum Hudud melalui Maqasid Syariah ~ Part 1




Salah satu cara yang paling effective untuk memahami hukum hudud adalah melalui fahaman ilmu maqasid syariah. Kita perlu ketahui bahwa Islam adalah agama yang adil kepada semua manusia tanpa mengira agama ataupun bangsa. Hudud bermaksud had atau batasan dalam sesuatu hukuman (Limitations on Criminal Punishment).


Pada zaman jahilia Arab, hukuman jenayah adalah berdasarkan hukum rimba (jungle law) iaitu siapa yang perkasa dia berkuasa, siapa yang bodoh akan diperas oleh yang pandai, siapa yang miskin dihisap oleh yang kaya dan siapa yang kaya akan terlepas dari hukuman. Ini adalah suatu kezaliman kepada pihak yang lemah, terutamanya yang tua, wanita dan kanak-kanak.


Oleh kerana ini, Allah SWT telah mewahyukan Hukum Hudud kepada umatNya agar kehidupan manusia boleh mencapai kemaslahatan yang mutlak dengan menganjurkan keadilan yang adil dan serata kepada semua peringkat manusia tanpa mengira pangkat, pengaruh ataupun kekayaan.


Sebelum Islam sampai, penjenayah pada zaman itu menerima hukuman yang teramat kejam seperti dipotong keempat-empat kaki dan tangannya, ditindih dengan batu besar, dijemur di padang pasir hingga mati, dibelah-belah badannya dll. Pihak berkuasa telah mencipta pelbagai jenis alat hukuman untuk menyiksa penjenayah2.


Setelah ketibaan Islam, barulah hukuman2 kejam ini dihapuskan dan digantikan dengan undang2 Islam. Tujuan utama Allah SWT adalah untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Akan tetapi, hukum hudud dalam al-Quran bukanlah hanya tertumpu kepada hukuman jenayah sahaja tetapi juga dalam pelbagai aspek yang lain.


Hukum Hudud dalam al-Quran juga telah menyebut beberapa perkara yang lain seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 yang merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 pula pasal hukum zihar dan Surah at Talaq ayat 1 tentang edah talak.


Apabila menyebut mengenai undang-undang syariah, ia bukanlah hanya tertakluk kepada hukum hudud sahaja. Hukum hudud hanyalah sebahagian daripada syariat Islam. Syariah Islam adalah lebih luas konsepnya. Menegakkan keadilan adalah syariah. Memberikan pendidikan dan nafkah adalah syariah. Menjaga kemaslahatan rakyat marhaen adalah syariah. Menangkap pencuri duit berbilion-bilion juga adalah syariah.


Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita wajib menerima dan akur kepada semua syariat yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita, termasuklah hukum hudud untuk penjenayah seperti dalam QS 5:38 yang merujuk kepada hukuman potong tangan untuk pencuri, QS 5:33 merujuk kepada hukuman hirabah, QS 2:178 merujuk kepada hukum Qisas, QS 24:2 yang merujuk kepada pelaku zina, QS 24:4-6 merujuk kepada qazaf.


Selain dari hukuman yang telah termaktub dalam al-Quran, terdapat juga beberapa hukuman yang telah disebut dalah hadith2 sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Contohnya seperti hukuman rejam sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin, membunuh orang yang telah murtad dan bunuh pembunuh yang sengaja membunuh.


Telah berlaku khilaf (perbezaan pendapat) diantara ulama fuquha mengenai hukuman rejam sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin dan membunuh orang yang telah murtad kerana ia bukanlah dari sumber yang Qati tetapi dari hadis ahad yang masih mempunyai sifat zann. Hukuman bunuh pembunuh yang sengaja membunuh pula telah digolongkan dalam kategori Qisas yang mempunyai kelonggaran Diyat.


Para ulama berpendapat bahwa hukuman membunuh orang yang telah murtad adalah terikat dengan kelakuan khianat (treason) kerana Nabi SAW dan para sahabat pernah melepaskan orang yang telah murtad tanpa diperangi atau tanpa sebarang hukuman. Murtad yang telah dibunuh pada zaman itu adalah orang2 yang akan membawa ancaman keselamatan kepada umat Islam setelah mereka berpaling.


Abang kepada Zaynab bint Jahsh (isteri Nabi SAW) dan juga suami kepada Ramla bint Abi Sufyan (isteri Nabi SAW), iaitu Ubaydallah ibn Jahsh telah dibenarkan oleh para sahabat ra. untuk murtad dan memeluk agama kristian setelah hijrah ke Abyssinia. Malah, bukan saja Ubaydallah ibn Jahsh tidak dibunuh atau diperangi setelah dia murtad tetapi dia juga hidup secara damai dalam keadaan murtad (sehingga dia meninggal dunia) bersama para sahabat ra. pada ketika itu.


Juga terdapat sebuah hadith yang meriwayatkan bahwa Nabi SAW telah melepaskan seorang Arab Badui yang telah murtad tanpa apa2 hukuman:

Diriwayatkan oleh Jabir, mengatakan; 'Seorang arab badui mendatangi Nabi SAW dan berujar "Baiatlah aku untuk Islam, " maka Nabi membaiatnya untuk Islam. Keesokan harinya si arab badui tadi datang dalam keadaan demam, dan berujar; "batalkanlah baiatku" namun Nabi enggan. (sebanyak 3 kali, lepas tu dia pun pergi meninggalkan Madinah). Ketika si arab badui sudah berpaling, Nabi bersabda: "Madinah ini bagaikan tungku api yang menghilangkan karat-karatnya dan menyaring yang baik saja." (HR Bukhari No.6777, Muslim No.2453 dan lain-lain)


Kita boleh lihat disini bahwa tujuan Islam (maqasid syariah) membunuh orang yang telah murtad bukanlah kerana dia telah meninggalkan agama Islam tetapi kerana dia mempunyai tujuan khianat (treason) yang akan mengancam keselamatan umat Islam pada masa itu. Jika Islam adalah satu agama yang akan membunuh orang yang ingin keluar dari ajarannya, maka siapakah lagi yang berani memeluk agama ini? Islam akan menjadi satu agama yang beku, yang tidak boleh kembang.



Wallahu'alam

Sunday, August 21, 2016

Memahami Teks Hadith melalui Ilmu Maqasid Syariah - 3




- Menghilangkan Kemusykilan Dalam Teks Hadis


Antara perkara yang dimaklumi dalam Ilmu Usul Fiqh ialah dalil-dalil yang sahih tidak akan bercanggah antara satu sama lain. Ini kerana kesemua dalil yang sahih itu datang dari sumber yang sama.

Apabila berlaku percanggahan, ia adalah percanggahan zahir yang akan hilang dengan melakukan proses tertentu. Antara proses untuk menghilangkan percanggahan antara hadis dan dalil lain seperti ayat al Quran ialah dengan memahaminya melalui Maqasid Syariah.

Berikut adalah contoh yang menjelaskan peranan ini:

Maksudnya: “Jika ada bagi Allah khalifah di bumi dan dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu maka hendaklah kamu taat. Jika tidak ada (khalifah) biarlah kamu mati dalam keadaan kamu menggigit akar pokok”.

Hadis ini memberikan sedikit kemusykilan kerana zahir lafaznya seolah-olah menyatakan kezaliman pemerintah ke atas rakyatnya adalah dibenarkan sehingga memerintahkan rakyat taat kepada pemerintah walaupun dipukul belakang dan diambil harta.

Ini menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan kezaliman penguasa. Sebenarnya jika difahami hadis ini berdasarkan Ilmu Maqasid segala kemusykilan terhadap hadis ini akan hilang. Hadis ini tidak bermaksud mengiktiraf kezaliman pemerintah.

Terlalu banyak hadis yang memberi ancaman neraka kepada pemerintah yang melakukan kezaliman terhadap rakyatnya. Justeru, bagaimanakah cara untuk memahami hadis ini dengan betul?

Hadis ini sebenarnya menganjurkan agar rakyat tidak melawan kezaliman pemerintah jika dia lemah dan tidak mampu untuk melawannya. Ini kerana belakang badan yang dipukul dan harta yang diambil itu lebih ringan berbanding nyawa yang hilang akibat mempertahankan harta tersebut.

Sudah tentu Maqasid memelihara nyawa lebih utama dari Maqasid memelihara harta. Kata Abu al-‘Abbas al-Qurtubi: “(Hadis) Ini merupakan arahan kepada orang yang dipukul supaya menyerah, taat dan tidak memberontak kerana bimbang perkara ini akan bertambah kepada perkara yang lebih buruk dari itu”



- Mengaitkan Hukum Yang Disebut Dalam Dalil Dengan Sesuatu Yang Tidak Disebut Dalam Dalil.


Apabila Nabi s.a.w wafat maka zaman penurunan wahyu juga terhenti. Tetapi isu dalam kehidupan manusia ini tidak terhenti bahkan isu-isu baru yang tidak disebut secara jelas dalam nas akan terus muncul. Maka antara peranan Ilmu Maqasid ialah ia menjadikan Islam sentiasa relevan sepanjang zaman walaupun zaman penurunan wahyu telah terhenti.


Antara peranan yang dimainkan oleh Ilmu Maqasid ini ialah ia boleh mengaitkan hukum yang yang disebut dalam dalil dengan sesuatu yang tidak disebut dalam dalil. Caranya ialah dengan melihat kepada objektif pensyariatan hukum tersebut.


Contohnya ialah:


Maksudnya: “Sesiapa yang makan dari pokok ini (iaitu bawang putih) maka janganlah dia menghampiri masjid kami”.


Jika diperhatikan, hadis ini menyatakan bahawa bau bawang putih ini mengganggu jemaah yang bersolat. Maka Nabi s.a.w melarang orang yang baru memakannya untuk bersolat di Masjid Nabawi kecuali selepas menghilangkan baunya terlebih dahulu.


Namun, adakah hukum ini hanya terpakai hanya kepada bawang putih? Bagaimana dengan makanan lain yang baunya lebih kurang sama dengan bawang putih seperti petai dan durian? Dengan memahami hadis ini berdasarkan Ilmu Maqasid maka dapati bahawa hukum ini boleh dikaitkan dengan petai dan durian walaupun ia tidak disebut dalam nas.


- Mentarjihkan Pandangan Ulama Yang Selari Dengan Maqasid Syariah

Apabila ulama berbeza pandangan terhadap tafsiran sesuatu hadis maka kita boleh mentarjihkan salah satu pandangan dengan melihat kepada Ilmu Maqasid Syariah. Dalam keadaan ini keselarian sesuatu pandangan dengan Maqasid Syariah dianggap sebagai qarinah ataupun petunjuk untuk kita memilihnya berbanding pandangan yang lain. 

Contoh berikut menjelaskan lagi peranan Ilmu Maqasid ini:

Maksudnya: “Janganlah kamu duduk di atas kubur dan jangan pula kamu solat mengadapnya”


Sebahagian ulama menyatakan tujuan larangan solat mengadap kubur ini ialah kerana mayat di dalam kubur itu najis. Sebahagian ulama lain pula menyatakan tujuan larangan ini ialah kerana Nabi s.a.w ingin menutup pintu yang boleh membawa syirik (sembah mayat).

Ibn al-Qayyim memilih pandangan yang kedua kerana orang Yahudi juga dilaknat kerana mereka menjadikan kubur Nabi-Nabi mereka sebagai tempat sujud dan jenazah Nabi-Nabi tidak najis. Ibn Hajar juga memilih pandangan yang serupa dengan Ibn al-Qayyim.


Mentafsirkan Hadis Dengan Tafsiran Yang Munasabah Ini juga merupakan peranan penting yang dimainkan oleh Ilmu Maqasid Syariah. Jika kita perhatikan beberapa tafsiran ulama yang hanya melihat kepada zahir hadis semata maka kita akan melihat kadang-kadang tafsiran hadisnya boleh membawa kepada makna yang tidak munasabah oleh akal fikiran.

Contohnya ialah:

Maksudnya: “Jangan seseorang dari kamu kencing dalam air yang bertakung kemudian mandi dari air itu”. Dalam riwayat lain disebut: “Kemudian mengambil wuduk darinya”.

Ibn Hazm dikenali sebagai tokoh Mazhab al-Zahiri yang hanya mengiktiraf zahir nas samada dari al-Quran mahupun Sunnah. Beliau tidak melihat kepada objektif mahupun punca sesuatu hukum disyariatkan. 

Oleh kerana itu, Ibn Hazm kadang kala mentafsirkan hadis dengan tafsir yang kurang munasabah. Lalu beliau menyatakan bahawa larangan ini hanya berfokus kepada orang yang kencing di dalam air bertakung tersebut. Namun jika dia kencing di dalam bekas kemudian dia tuangkannya ke dalam air bertakung itu, maka dia tidak dilarang dari mengambil wuduk darinya. 

Ini kerana hadis cuma melarang dia mengambil wuduk dari air bertakung yang dia telah kencing di dalamnya. Sedangkan kencing di dalam bekas kemudian tuangkan ke dalam air tersebut tidak disebut larangannya di dalam mana-mana hadis.


- Oleh DR Rozaimi Ramle
- Sumber: https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00008431_130857.pdf



Wallahu'alam

Memahami Teks Hadith melalui Ilmu Maqasid Syariah - 2




Ilmu Maqasid Syariah memainkan peranan penting dalam memahami teks hadis. Terdapat banyak faedah yang diperolehi apabila sesuatu hadis difahami berdasarkan ilmu ini. Di kesempatan ini, penulis akan menjelaskan peranan ilmu Maqasid Syariah dalam memahami teks hadis berdasarkan pemerhatian terhadap interaksi ulama hadis silam dan kontemporari terhadap hadis. Berikut adalah penjelasannya:


- Menjaga Masalih (Kepentingan) dan Menggugurkan Kerosakan Ketika Mentafsirkan Teks Hadis

Tidak sebarang keraguan bahawa Syariat Islam diturunkan oleh Allah s.w.t untuk menjaga maslahah hambanya dan menjauhkan kerosakan daripadanya di dunia dan di akhirat. Tidak ada hukum syara’ yang disyariatkan oleh Islam melainkan untuk menjaga dua objektif besar ini. Kata al-Izz bin Abdul al-Salam:

“Kita mengetahui dari punca Syara’ dan sumbernya bahawa objektif Syara’ adalah untuk menjaga kepentingan hamba-hamba dalam urusan agamanya dan dunianya”.

Antara contoh yang menunjukkan peranan ini ialah hadis berikut: Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari golongan mereka”.

Hadis ini secara zahirnya memberi maksud bahawa kita dilarang meniru fesyen mahupun pakaian agama lain secara mutlak. Maka setiap orang Muslim dilarang untuk menyerupai imej agama penganut agama lain selain Islam.

Ibn Taimiah mengasaskan pemahamannya terhadap teks hadis ini melalui Ilmu Maqasid Syariah. Beliau menegaskan bahawa hadis ini mempunyai objektif tersendiri iaitu pensyariatan membezakan diri Muslim daripada imej agama lain adalah untuk menunjukkan kemuliaan, kekuatan dan jatidiri Muslim setelah menganut Islam kepada kafir zimmi.

Ia hanya disyariatkan ketika kaum Muslimin kuat. Tetapi jika seorang Muslim berada di negara kafir dan mereka lemah di sana maka tidak disyariatkan untuk mereka membezakan diri mereka dari imej zahir penduduk negara tersebut. Ini supaya mereka tidak ditimpa kemudaratan dibunuh atau diganggu hanya kerana mereka Muslim.

Jika diteliti pandangan Ibn Taimiah ini, ia jelas menunjukkan bahawa memahami teks hadis berdasarkan Ilmu Maqasid Syariah sangat penting untuk menetapkan kemaslahatan dan menjauhkan kemudaratan kepada mereka. Tidak syak lagi, nyawa adalah di antara Dharuriat Lima yang perlu dipelihara dalam Ilmu Maqasid Syariah.




- Dapat Melaksanakan Objektif Syara’


Antara peranan Ilmu Maqasid juga ialah ia dapat menjadikan seseorang melaksanakan objektif Syara’ di sebalik pensyariatan sesuatu hukum. Kita tidak dapat nafikan bahawa pemahaman literal semata dlam memahami teks hadis boleh menjadikan kita meninggalkan objektif Syara’ daripada pensyariatan hukum. Antara contoh yang boleh menjelaskan peranan ini ialah:

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu cupak tamar, atau satu cupak barli ke atas hamba sahaya, orang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan dewasa dari kalangan kaum Muslimin. Baginda mengarahkan supaya ia dibayar sebelum manusia keluar mengerjakan solat (hari raya)."

Sebahagian ulama berpendapat bahawa tamar dan barli adalah objek yang mesti dikeluarkan ketika zakat fitrah dibayar. Maka mereka berpendapat mengeluarkan nilainya dengan duit tidak sah.

Sedangkan objektif Syara’ daripada pensyariatan zakat fitrah ini ialah untuk menggembirakan orang miskin dengan memberi mereka makanan. Maka pada zaman ini, membayar zakat fitrh menggunakan duit lebih memenuhi objektif Syara’ dari pensyariatan zakat fitrah ini.

Ini kerana zaman sudah berubah begitu juga suasana. Kehidupan semakin rencam dan kehendak bertukar dan bermacam-macam. Maka keperluan bergembira di hari raya bagi orang miskin bukan hanya pada beras semata. Ia melangkaui pakaian baru, langsir baru dan seumpamanya.

Maka dengan memahami teks hadis berdasarkan Ilmu Maqasid maka kita akan melaksanakan objektif Syara’ tersebut.


- Oleh DR Rozaimi Ramle
- Sumber: https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00008431_130857.pdf


Wallahu'alam

Memahami Teks Hadith melalui Ilmu Maqasid Syariah - 1





Jika diperhatikan, banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa teks hadis mesti difahami berdasarkan ilmu Maqasid Syariah. Berikut merupakan beberapa dalil yang membuktikan bahawa ilmu Maqasid amat penting dalam memahami teks hadis:

Maksudnya: Dan apabila datang kepada mereka berita mengenai keamanan atau kecemasan mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikannya kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) di antara mereka tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orangyang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (al-Nisa’: 83)

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap riwayat yang sampai kepada orang Muslim itu hendaklah diserahkan kepada orang yang layak untuk menelitinya secara mendalam. Pemahaman secara literal semata-mata tidak akan membawa kepada pemahaman yang tepat terhadap dalil-dalil Syara’.

Ayat ini juga menjelaskan bahawa orang yang mampu melakukan proses istinbat dianggap sebagai ahli ilmu yang mesti dirujuk untuk memahami sesuatu isu. Istinbat ialah proses merumuskan c illah, makna dan tujuan orang yang mengucapkan kalam.

Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w mengisyaratkan kepentingan Ilmu Maqasid Syariah dan peranannya dalam memahami teks hadis. Berikut beberapa contoh yang menjelaskan perkara ini:

Kisah Bani Quraizah

Maksudnya: Jangan ada seorang pun dari kamu solat Asar sehinggalah di perkampungan Bani Quraizah. Sebahagian sahabat bersolat Asar di pertengahan jalan, maka sebahagian yang lain berkata: Kita tidak boleh solat sehingga kita sampai ke sana. Sebahagian yang lain menjawab: Bahkan kita solat kerana tidak dikehendaki dari kita melewatkan solat (tetapi baginda ingin cepat sampai ke destinasi). Kemudian kisah ini diceritakan kepada Nabi s.a.w tetapi baginda tidak mengherdik sesiapa pun antara mereka.

Kisah ini menunjukkan bahawa sahabat Nabi s.a.w tidak hanya berpada dengan arahan zahir baginda. Bahkan sebahagian dari mereka mencari objektif di sebalik arahan zahir itu. Ini membuktikan bahawa kaedah memahami hadis berdasarkan Maqasid Syariah adalah sesuatu yang diiktiraf dalam Islam.

Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa terdapat ulama yang berpandangan kumpulan sahabat yang solat Asar di pertengahan jalan itu telah mendapat dua kelebihan sekaligus berbanding kumpulan yang solat di akhir waktu yang hanya mendapat satu kelebihan.

Pertama kelebihan solat di awal waktu dan yang kedua kelebihan melaksanakan arahan Nabi s.a.w dengan memahami objektif di sebaliknya.

Kisah Zul Khuwaisirah

Sabda Nabi s.a.w kepada lelaki yang bernama Zul Khuwaisirah ketika beliau mempertikaikan keadilan baginda dalam pembahagian harta rampasan perang:

Maksudnya: Sesungguhnya akan keluar dari keturunan lelaki ini (Zul Khuwaisirah) satu kaum yang membaca al-Quran tetapi ia tidak melepasi tekak mereka, mereka akan keluar dari agama seperti keluarnya anak panah dari busurnya. Mereka membunuh orang Islam dan meninggalkan penyembah berhala. Jika aku berjumpa mereka aku akan perangi mereka seperti mana perang Ad.

Hadis ini menunjukkan bahawa memahami al-Quran secara zahir semata boleh menjerumuskan manusia ke dalam kemurkaan agama. Oleh itu hadis ini memberikan amaran kepada golongan Khawarij yang hanya berpegang kepada zahir nas semata kerana ia boleh membawa kepada kesesatan.


- Oleh DR Rozaimi Ramle
- Sumber: https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00008431_130857.pdf



Wallahu'alam