Sunday, August 21, 2016

Memahami Teks Hadith melalui Ilmu Maqasid Syariah - 2




Ilmu Maqasid Syariah memainkan peranan penting dalam memahami teks hadis. Terdapat banyak faedah yang diperolehi apabila sesuatu hadis difahami berdasarkan ilmu ini. Di kesempatan ini, penulis akan menjelaskan peranan ilmu Maqasid Syariah dalam memahami teks hadis berdasarkan pemerhatian terhadap interaksi ulama hadis silam dan kontemporari terhadap hadis. Berikut adalah penjelasannya:


- Menjaga Masalih (Kepentingan) dan Menggugurkan Kerosakan Ketika Mentafsirkan Teks Hadis

Tidak sebarang keraguan bahawa Syariat Islam diturunkan oleh Allah s.w.t untuk menjaga maslahah hambanya dan menjauhkan kerosakan daripadanya di dunia dan di akhirat. Tidak ada hukum syara’ yang disyariatkan oleh Islam melainkan untuk menjaga dua objektif besar ini. Kata al-Izz bin Abdul al-Salam:

“Kita mengetahui dari punca Syara’ dan sumbernya bahawa objektif Syara’ adalah untuk menjaga kepentingan hamba-hamba dalam urusan agamanya dan dunianya”.

Antara contoh yang menunjukkan peranan ini ialah hadis berikut: Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari golongan mereka”.

Hadis ini secara zahirnya memberi maksud bahawa kita dilarang meniru fesyen mahupun pakaian agama lain secara mutlak. Maka setiap orang Muslim dilarang untuk menyerupai imej agama penganut agama lain selain Islam.

Ibn Taimiah mengasaskan pemahamannya terhadap teks hadis ini melalui Ilmu Maqasid Syariah. Beliau menegaskan bahawa hadis ini mempunyai objektif tersendiri iaitu pensyariatan membezakan diri Muslim daripada imej agama lain adalah untuk menunjukkan kemuliaan, kekuatan dan jatidiri Muslim setelah menganut Islam kepada kafir zimmi.

Ia hanya disyariatkan ketika kaum Muslimin kuat. Tetapi jika seorang Muslim berada di negara kafir dan mereka lemah di sana maka tidak disyariatkan untuk mereka membezakan diri mereka dari imej zahir penduduk negara tersebut. Ini supaya mereka tidak ditimpa kemudaratan dibunuh atau diganggu hanya kerana mereka Muslim.

Jika diteliti pandangan Ibn Taimiah ini, ia jelas menunjukkan bahawa memahami teks hadis berdasarkan Ilmu Maqasid Syariah sangat penting untuk menetapkan kemaslahatan dan menjauhkan kemudaratan kepada mereka. Tidak syak lagi, nyawa adalah di antara Dharuriat Lima yang perlu dipelihara dalam Ilmu Maqasid Syariah.




- Dapat Melaksanakan Objektif Syara’


Antara peranan Ilmu Maqasid juga ialah ia dapat menjadikan seseorang melaksanakan objektif Syara’ di sebalik pensyariatan sesuatu hukum. Kita tidak dapat nafikan bahawa pemahaman literal semata dlam memahami teks hadis boleh menjadikan kita meninggalkan objektif Syara’ daripada pensyariatan hukum. Antara contoh yang boleh menjelaskan peranan ini ialah:

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu cupak tamar, atau satu cupak barli ke atas hamba sahaya, orang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan dewasa dari kalangan kaum Muslimin. Baginda mengarahkan supaya ia dibayar sebelum manusia keluar mengerjakan solat (hari raya)."

Sebahagian ulama berpendapat bahawa tamar dan barli adalah objek yang mesti dikeluarkan ketika zakat fitrah dibayar. Maka mereka berpendapat mengeluarkan nilainya dengan duit tidak sah.

Sedangkan objektif Syara’ daripada pensyariatan zakat fitrah ini ialah untuk menggembirakan orang miskin dengan memberi mereka makanan. Maka pada zaman ini, membayar zakat fitrh menggunakan duit lebih memenuhi objektif Syara’ dari pensyariatan zakat fitrah ini.

Ini kerana zaman sudah berubah begitu juga suasana. Kehidupan semakin rencam dan kehendak bertukar dan bermacam-macam. Maka keperluan bergembira di hari raya bagi orang miskin bukan hanya pada beras semata. Ia melangkaui pakaian baru, langsir baru dan seumpamanya.

Maka dengan memahami teks hadis berdasarkan Ilmu Maqasid maka kita akan melaksanakan objektif Syara’ tersebut.


- Oleh DR Rozaimi Ramle
- Sumber: https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00008431_130857.pdf


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment