Sunday, August 21, 2016

Memahami Teks Hadith melalui Ilmu Maqasid Syariah - 3




- Menghilangkan Kemusykilan Dalam Teks Hadis


Antara perkara yang dimaklumi dalam Ilmu Usul Fiqh ialah dalil-dalil yang sahih tidak akan bercanggah antara satu sama lain. Ini kerana kesemua dalil yang sahih itu datang dari sumber yang sama.

Apabila berlaku percanggahan, ia adalah percanggahan zahir yang akan hilang dengan melakukan proses tertentu. Antara proses untuk menghilangkan percanggahan antara hadis dan dalil lain seperti ayat al Quran ialah dengan memahaminya melalui Maqasid Syariah.

Berikut adalah contoh yang menjelaskan peranan ini:

Maksudnya: “Jika ada bagi Allah khalifah di bumi dan dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu maka hendaklah kamu taat. Jika tidak ada (khalifah) biarlah kamu mati dalam keadaan kamu menggigit akar pokok”.

Hadis ini memberikan sedikit kemusykilan kerana zahir lafaznya seolah-olah menyatakan kezaliman pemerintah ke atas rakyatnya adalah dibenarkan sehingga memerintahkan rakyat taat kepada pemerintah walaupun dipukul belakang dan diambil harta.

Ini menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan kezaliman penguasa. Sebenarnya jika difahami hadis ini berdasarkan Ilmu Maqasid segala kemusykilan terhadap hadis ini akan hilang. Hadis ini tidak bermaksud mengiktiraf kezaliman pemerintah.

Terlalu banyak hadis yang memberi ancaman neraka kepada pemerintah yang melakukan kezaliman terhadap rakyatnya. Justeru, bagaimanakah cara untuk memahami hadis ini dengan betul?

Hadis ini sebenarnya menganjurkan agar rakyat tidak melawan kezaliman pemerintah jika dia lemah dan tidak mampu untuk melawannya. Ini kerana belakang badan yang dipukul dan harta yang diambil itu lebih ringan berbanding nyawa yang hilang akibat mempertahankan harta tersebut.

Sudah tentu Maqasid memelihara nyawa lebih utama dari Maqasid memelihara harta. Kata Abu al-‘Abbas al-Qurtubi: “(Hadis) Ini merupakan arahan kepada orang yang dipukul supaya menyerah, taat dan tidak memberontak kerana bimbang perkara ini akan bertambah kepada perkara yang lebih buruk dari itu”



- Mengaitkan Hukum Yang Disebut Dalam Dalil Dengan Sesuatu Yang Tidak Disebut Dalam Dalil.


Apabila Nabi s.a.w wafat maka zaman penurunan wahyu juga terhenti. Tetapi isu dalam kehidupan manusia ini tidak terhenti bahkan isu-isu baru yang tidak disebut secara jelas dalam nas akan terus muncul. Maka antara peranan Ilmu Maqasid ialah ia menjadikan Islam sentiasa relevan sepanjang zaman walaupun zaman penurunan wahyu telah terhenti.


Antara peranan yang dimainkan oleh Ilmu Maqasid ini ialah ia boleh mengaitkan hukum yang yang disebut dalam dalil dengan sesuatu yang tidak disebut dalam dalil. Caranya ialah dengan melihat kepada objektif pensyariatan hukum tersebut.


Contohnya ialah:


Maksudnya: “Sesiapa yang makan dari pokok ini (iaitu bawang putih) maka janganlah dia menghampiri masjid kami”.


Jika diperhatikan, hadis ini menyatakan bahawa bau bawang putih ini mengganggu jemaah yang bersolat. Maka Nabi s.a.w melarang orang yang baru memakannya untuk bersolat di Masjid Nabawi kecuali selepas menghilangkan baunya terlebih dahulu.


Namun, adakah hukum ini hanya terpakai hanya kepada bawang putih? Bagaimana dengan makanan lain yang baunya lebih kurang sama dengan bawang putih seperti petai dan durian? Dengan memahami hadis ini berdasarkan Ilmu Maqasid maka dapati bahawa hukum ini boleh dikaitkan dengan petai dan durian walaupun ia tidak disebut dalam nas.


- Mentarjihkan Pandangan Ulama Yang Selari Dengan Maqasid Syariah

Apabila ulama berbeza pandangan terhadap tafsiran sesuatu hadis maka kita boleh mentarjihkan salah satu pandangan dengan melihat kepada Ilmu Maqasid Syariah. Dalam keadaan ini keselarian sesuatu pandangan dengan Maqasid Syariah dianggap sebagai qarinah ataupun petunjuk untuk kita memilihnya berbanding pandangan yang lain. 

Contoh berikut menjelaskan lagi peranan Ilmu Maqasid ini:

Maksudnya: “Janganlah kamu duduk di atas kubur dan jangan pula kamu solat mengadapnya”


Sebahagian ulama menyatakan tujuan larangan solat mengadap kubur ini ialah kerana mayat di dalam kubur itu najis. Sebahagian ulama lain pula menyatakan tujuan larangan ini ialah kerana Nabi s.a.w ingin menutup pintu yang boleh membawa syirik (sembah mayat).

Ibn al-Qayyim memilih pandangan yang kedua kerana orang Yahudi juga dilaknat kerana mereka menjadikan kubur Nabi-Nabi mereka sebagai tempat sujud dan jenazah Nabi-Nabi tidak najis. Ibn Hajar juga memilih pandangan yang serupa dengan Ibn al-Qayyim.


Mentafsirkan Hadis Dengan Tafsiran Yang Munasabah Ini juga merupakan peranan penting yang dimainkan oleh Ilmu Maqasid Syariah. Jika kita perhatikan beberapa tafsiran ulama yang hanya melihat kepada zahir hadis semata maka kita akan melihat kadang-kadang tafsiran hadisnya boleh membawa kepada makna yang tidak munasabah oleh akal fikiran.

Contohnya ialah:

Maksudnya: “Jangan seseorang dari kamu kencing dalam air yang bertakung kemudian mandi dari air itu”. Dalam riwayat lain disebut: “Kemudian mengambil wuduk darinya”.

Ibn Hazm dikenali sebagai tokoh Mazhab al-Zahiri yang hanya mengiktiraf zahir nas samada dari al-Quran mahupun Sunnah. Beliau tidak melihat kepada objektif mahupun punca sesuatu hukum disyariatkan. 

Oleh kerana itu, Ibn Hazm kadang kala mentafsirkan hadis dengan tafsir yang kurang munasabah. Lalu beliau menyatakan bahawa larangan ini hanya berfokus kepada orang yang kencing di dalam air bertakung tersebut. Namun jika dia kencing di dalam bekas kemudian dia tuangkannya ke dalam air bertakung itu, maka dia tidak dilarang dari mengambil wuduk darinya. 

Ini kerana hadis cuma melarang dia mengambil wuduk dari air bertakung yang dia telah kencing di dalamnya. Sedangkan kencing di dalam bekas kemudian tuangkan ke dalam air tersebut tidak disebut larangannya di dalam mana-mana hadis.


- Oleh DR Rozaimi Ramle
- Sumber: https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00008431_130857.pdf



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment