Hukum rejam sampai mati (lapidation) untuk penzina yang telah berkahwin adalah satu hukuman yang telah wujud sebelum ketibaan Rasulullah SAW. Ia adalah salah satu daripada hukuman yang telah disyariatkan kepada Nabi Musa as. Hukuman ini seterusnya telah diamal oleh Nabi Isa as dan Nabi Muhammad SAW.
Terdapat beberapa hadith sahih yang meriwayatkan Nabi SAW telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin. Cuma terdapat beberapa ulama komtemporari masa kini yang telah menyifatkan hukuman ini tidak lagi sesuai dilaksanakan di atas alasan keperimanusian dan juga atas sebab kelemahan iman umat masa kini. (rujuk footnote)
Para ulama kontemporari telah mencadangkan agar hukuman hudud untuk penzina yang telah berkahwin dialihkan kepada hukum ta'zir. Hukum ta'zir adalah salah satu daripada syariat Islam yang membenarkan pemimpin atau pemerintah untuk menjatuhkan hukuman, bergantung kepada keperluan dan kemaslahatan setempat (uruf). Contoh hukuman ta'zir adalah seperti sebatan untuk peminum arak dan kaki judi.
Undang-undang negara yang sedia ada juga boleh disifatkan sebagai hukum ta'zir dimana pemerintah telah memberi kuasa dan amanah kepada badan penghakiman negara untuk mewakili beliau untuk menjatuhkan hukuman ta'zir mengikut undang2 dan perlembagaan negara. Kes-kes seperti rasuah, money laundering, hirabah (merompak), membunuh, rogol, hubungan sejenis, terrorism dll semua termasuk dalam kategori hukuman ta'zir.
Hukuman Qisas (the Law of Retaliation) pula merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT yang memberikan kebebasan kepada mangsa untuk memilih sama ada untuk membalas balik atau menerima pampasan gantirugi (diyat) atau memaafkan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, qisas diwajibkan atasmu berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka, barangsiapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya, hendaklah mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Rabbmu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 178-179)
Walau bagaimanapun, hukuman ini adalah sama dengan hukum ta'zir dimana seorang pemerintah atau wakilnya yang akan mengadili hukuman qisas ini dan bukannya dilakukan oleh mangsa sewenang-wenangnya tanpa diadili oleh seorang hakim terlebih dahulu. Diyat pula merupakan pampasan gantirugi yang wajib dibayar oleh penjenayah kepada waris mangsanya disebabkan jenayah yang telah dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.
Syaikh Abdullah Bin Bayyah, seorang ulama terkenal dunia, berpendapat bahwa pemimpin atau pemerintah perlu dijadikan sebagai penentu Tahqiq Al-Manat bagi melihat realiti negara dan implikasinya sama ada menangguh atau melaksanakan hukuman hudud.
Syaikh Abdullah Bin Bayyah memberi dalil kes-kes zaman Nabi SAW dan para sahabat seperti yang pernah dinukil oleh Ibnu Al Qayyim; iaitu jika dalam keadaan perang, kesukaran hidup dan ancaman musuh sebagai alasan untuk mencapai keputusan Tahqiq Al Manat samada melaksanakan atau tidak hudud. (lihat Syaikh Abdullah bin Bayyah, Tanbih al-Maraji’ fi Ta’sil Fiqh al-Waqi’, Dar al-Tajdid li Nasyr wa Tawzi’)
Tahqiq Al-Manat bermaksud melakukan ijtihad melalui Fiqh al-Waqi, iaitu penentuan hukum/fatwa (atau keperluan perlaksanaan hukum hudud) melalui illat (sebab/alasan) dan penelitian realiti semasa. Contohnya: Semasa kekhalifahan Islam dibawah pimpinan Umar bin Khattab ra. tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seseorang yang mencuri kerana kelaparan (darurat/terpaksa).
Ali bin Abi Thalib ra. pernah meningkatkan hukuman sebat dari 40 sebatan ke 80 sebatan kepada peminum arak kerana pada masa pemerintahan beliau, ramai peminum2 arak yang suka mengacau penduduk tempatan terutamanya terhadap golongan lemah seperti wanita dengan tuduhan palsu berzina setelah mereka mabuk.
Hukuman 40 sebatan yang sedia ada tidak menginsafkan peminum2 arak pada masa itu. Untuk mencegah terjadinya hal seperti itu, maka dikenakanlah hukuman berat bagi peminum khamar seperti yang dikenakan kepada penuduh zina.
Ibnu Taimiah pula pernah mengharuskan minuman arak kepada golongan Tartar yang telah memeluk agama Islam. Ini adalah kerana sikap bengis golongan Tartar ini akan mengacau dan cari gaduh dengan penduduk tempatan jika mereka dalam keadaan sedar. Tetapi apabila mereka telah mabuk, mereka akan tidur. Untuk mencapai ketenteraman umum, Ibnu Taimiah telah membenarkan golongan ini minum arak tanpa hukuman hudud.
Nailah bintu al-Farafishah, iaitu isteri Utsman bin Affan pernah dibenarkan untuk menjadi saksi dalam peristiwa pembunuhan Utsman yang dilakukan oleh para pemberontak walaupun syarat saksi hukuman jinayah dan hiraba adalah 2 orang lelaki Islam yang adil. Ini menunjukkan bahwa apabila ada keperluan, penyaksian dari seorang muslimah boleh dipakai dalam kes jenayah.
Contohnya, telah berlaku kes ragut atau curi di tempat solat muslimah (di belakang tabir) dalam masjid dan hanya seorang muslimah sahaja yang terlihat kejadian tersebut dan cam wajah peragut itu. Maka, penyaksian dari muslimah itu akan digunnakan dalam mahkamah syariah untuk mensabitkan hukuman. Jika Muslim tidak iktirafkan penyaksiaan sebegini, maka akan bertambah jenayah ke atas golongan wanita dan tersasar dari maqasid syariat hukumam hudud, iaitu mencapai kesejahteraan melalui keadilan.
Kita boleh lihat disini bahwa Islam bukanlah suatu agama yang jumud dan beku. Islam merupakan satu agama yang sentiasa hidup dan sentiasa berkembang dari zaman ke zaman sehingga kiamat. Oleh itu, jika para ulama tidak pandai menilai realiti semasa apabila melakukan ijtihad, maka perkembangan Islam akan terpincang. Ini adalah menyanggahi maqasid Islam yang lebih utama, iaitu penyeruan manusia agar beriman kepada Allah SWT dengan penerimaan ajaran Islam.
Objectif utama hukum hudud diturunkan oleh Allah SWT adalah untuk mencapai keadilan, kestabilan dan kesejahteraan sesebuah negara. Inilah yang perlu difokus jika nak laksanakan hukum hudud dan bukannya nak menghukum penjenayah sehingga dia takut melakukan jenayah.
Jika nak menakut-nakutkan penjenayah, kita tak perlu hudud, kita guna hukuman sistem rimba (jungle law) je, dimana pencuri disalib dan penzina dipotong alat kemaluan. Ini bukan matlamat hudud, matlamat hudud ialah memelihara dharuriyyah al-khamsah (lima keperluan asasi manusia) secara adil.
Maslahah dharuriyyah adalah tingkatan maslahah yang paling penting dalam kehidupan manusia. Tanpa penjagaan dan pemeliharaan dharuriyyah al-khamsah ini, manusia akan menghadapi kepincangan dalam hidupan masyarakat mereka. Lima keperluan asasi manusia atau dharuriyyah al-khamsah adalah terdiri daripada:
1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)
Contohnya:
1) Hukum hudud dalam Surah an-Nisa ayat 13 yang merujuk kepada pembahagian harta pusaka (faraid) adalah untuk pemeliharaan harta (hifz al-mal) dan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Jika pembahagian tidak adil dan dibolot oleh satu pihak, maka kehidupan masa depan isteri dan waris si arwah akan tergugat.
2) Hukum minum arak yang di sebut dalam Surah al Maidah ayat 90 adalah untuk pemeliharaan akal (hifz al-a’ql) dan pemeliharaan agama (hifz al-din). Orang yang mabuk akan hilang kewarasannya dan akan langgar perintah Allah SWT dan melakukan maksiat tanpa sedar diri.
3) Hukum memotong tangan si pencuri yang disebut dalam Surah al-Maidah ayat 38 dan hukuman hirabah yang disebut dalam Surah al-Maidah adalah untuk pemeliharaan harta (hifz al-mal) dan pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs). Sebuah negara atau suatu masyarakat tidak akan makmur jika ada banyak pencuri dan pembunuh.
4) Hukum qisas yang disebut dalam Surah Baqarah ayat 178 adalah untuk pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs) dan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Apabila hukum qisas telah dijalankan secara adil, maka terhentilah sifat dendam yang boleh membawa kepada kebinasaan. Pampasan diyat pula adalah untuk menjaga masa depan waris mangsa.
5) Hukum hudud untuk penzina yang disebut dalam Surah an-Nur ayat 2 adalah untuk pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dan pemeliharaan agama (hifz al-din). Penzina2 akan merosakkan kehidupan masyarakat dengan memecah-belahkan rumah tangga dan menghasilkan anak luar nikah. Agama tidak akan berkembang dalam masyarakat yang bermasalah.
Jika kita mengkaji semua syariat yang telah disebut dalam al-Quran dan hadith sahih, kita akan dapati bahwa maqasid syariah dibelakang setiap hukum hakam adalah untuk memelihara dan menjaga sesuatu maslahah demi kebaikan manusia dalam hidup ini dan juga diakhirat nanti. Kita tidak akan jumpa satu ayat pun yang menyebut sesuatu hukum itu adalah untuk kebaikan Allah SWT atau untuk malaikatNya. Inilah kemuliaan sifat ar-Rahman ar Rahim Allah SWT terhadap umatNya.
footnote:
- hadith rejam penzina yang telah berkahwin sehingga mati adalah hadith ahad. Dari segi Usul al Fiqh, para ulama fuquha berpendapat bahwa hadith ahad tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk perkara akidah dan hukuman bunuh kerana masih mempunyai sifat zann (zanni al tsubut dan zanni al dilalah) di dalamnya (kecuali hadith yang bertaraf zann al-gharib).
- terdapat ulama seperti imam Malik, imam Muslim dll yang mempertikaikan hadith ini dari segi sanadnya kerana ia diriwayatkan oleh seorang perawi yang bernama Ikrimah Maula ibn Abbas. (khilaf status hadith)
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment