Sunday, August 21, 2016

Memahami Teks Hadith melalui Ilmu Maqasid Syariah - 1





Jika diperhatikan, banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa teks hadis mesti difahami berdasarkan ilmu Maqasid Syariah. Berikut merupakan beberapa dalil yang membuktikan bahawa ilmu Maqasid amat penting dalam memahami teks hadis:

Maksudnya: Dan apabila datang kepada mereka berita mengenai keamanan atau kecemasan mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikannya kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) di antara mereka tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orangyang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (al-Nisa’: 83)

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap riwayat yang sampai kepada orang Muslim itu hendaklah diserahkan kepada orang yang layak untuk menelitinya secara mendalam. Pemahaman secara literal semata-mata tidak akan membawa kepada pemahaman yang tepat terhadap dalil-dalil Syara’.

Ayat ini juga menjelaskan bahawa orang yang mampu melakukan proses istinbat dianggap sebagai ahli ilmu yang mesti dirujuk untuk memahami sesuatu isu. Istinbat ialah proses merumuskan c illah, makna dan tujuan orang yang mengucapkan kalam.

Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w mengisyaratkan kepentingan Ilmu Maqasid Syariah dan peranannya dalam memahami teks hadis. Berikut beberapa contoh yang menjelaskan perkara ini:

Kisah Bani Quraizah

Maksudnya: Jangan ada seorang pun dari kamu solat Asar sehinggalah di perkampungan Bani Quraizah. Sebahagian sahabat bersolat Asar di pertengahan jalan, maka sebahagian yang lain berkata: Kita tidak boleh solat sehingga kita sampai ke sana. Sebahagian yang lain menjawab: Bahkan kita solat kerana tidak dikehendaki dari kita melewatkan solat (tetapi baginda ingin cepat sampai ke destinasi). Kemudian kisah ini diceritakan kepada Nabi s.a.w tetapi baginda tidak mengherdik sesiapa pun antara mereka.

Kisah ini menunjukkan bahawa sahabat Nabi s.a.w tidak hanya berpada dengan arahan zahir baginda. Bahkan sebahagian dari mereka mencari objektif di sebalik arahan zahir itu. Ini membuktikan bahawa kaedah memahami hadis berdasarkan Maqasid Syariah adalah sesuatu yang diiktiraf dalam Islam.

Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa terdapat ulama yang berpandangan kumpulan sahabat yang solat Asar di pertengahan jalan itu telah mendapat dua kelebihan sekaligus berbanding kumpulan yang solat di akhir waktu yang hanya mendapat satu kelebihan.

Pertama kelebihan solat di awal waktu dan yang kedua kelebihan melaksanakan arahan Nabi s.a.w dengan memahami objektif di sebaliknya.

Kisah Zul Khuwaisirah

Sabda Nabi s.a.w kepada lelaki yang bernama Zul Khuwaisirah ketika beliau mempertikaikan keadilan baginda dalam pembahagian harta rampasan perang:

Maksudnya: Sesungguhnya akan keluar dari keturunan lelaki ini (Zul Khuwaisirah) satu kaum yang membaca al-Quran tetapi ia tidak melepasi tekak mereka, mereka akan keluar dari agama seperti keluarnya anak panah dari busurnya. Mereka membunuh orang Islam dan meninggalkan penyembah berhala. Jika aku berjumpa mereka aku akan perangi mereka seperti mana perang Ad.

Hadis ini menunjukkan bahawa memahami al-Quran secara zahir semata boleh menjerumuskan manusia ke dalam kemurkaan agama. Oleh itu hadis ini memberikan amaran kepada golongan Khawarij yang hanya berpegang kepada zahir nas semata kerana ia boleh membawa kepada kesesatan.


- Oleh DR Rozaimi Ramle
- Sumber: https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00008431_130857.pdf



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment